SIAPAKAH ENRIQUE de MALACCA

Enrique de Malacca ialah seorang hamba berbangsa Melayu yang berkhidmat kepada Ferdinand Magellan dan mengikuti tuannya belayar mengelilingi dunia. Dalam kalangan orang Melayu, beliau dipanggil Panglima Awang tetapi beliau lebih dikenali oleh masyarakat dunia sebagai Enrique de Malacca ataupun Henry the Black.

Enrique menjadi hamba kepada Magellan apabila Portugis menawan Melaka pada 1511. Beliau dibawa oleh Magellan ke Lisbon, dan disenaraikan dalam angkatan laut Magellan yang bercita-cita mengelilingi dunia di antara tahun 1519 dan 1521. Apabila Magellan mati dibunuh oleh Lapu Lapu dalam Pertempuran Mactan pada 1521, sesetengah orang percaya Enrique terus menetap di sana dan ada pula yang percaya beliau pulang ke Melaka atau ke Indonesia kerana nama beliau tidak tercatit di dalam senarai anak-anak kapal Magellan yang selamat pulang ke Sepanyol.

Rujukan mengenai Enrique dalam teks-teks lama

Walaupun Enrique semestinya berasal dari Kepulauan Melayu namun kesahihan asal-usul beliau masih lagi menjadi perdebatan dalam kalangan sejarawan yang mengkaji sejarah pelayaran dan juga sejarah Asia Tenggara.

Ferdinand Magellan sendiri menulis di dalam surat wasiat dan amanat beliau bahawa hambanya Enrique berasal dari Melaka. Dalam jurnal Antonio Pigafetta berjudul ‘The First Voyage Around the World’ (1519-1522), beliau mencatatkan yang Enrique berasal dari Sumatera.

Maximilianus Transylvanus, yang menulis wawancara beliau dengan anak-anak kapal Magellan yang selamat pulang ke Sepanyol di dalam buku ‘De Moluccis Insulis’ (1523), mendakwa Enrique berasal dari Kepulauan Maluku; kedua-dua tempat itu kini berada dalam negara Indonesia.

Di dalam novel separa fiksyen berjudul ‘Panglima Awang’ (1958) oleh Harun Aminurrasyid, penulis Malaysia ini mengakui yang Enrique adalah orang Melayu dari Malaya/Malaysia dan bukannya dari Indonesia, meskipun beliau bersetuju Enrique sebenarnya berasal dari Sumatra. Beliau menggunakan nama gelaran yang biasa dipakai dalam masyarakat Melayu, iaitu Awang, untuk membuktikan identiti Enrique sebagai berbangsa Melayu.

Pada 1980, seorang sejarawan dan penulis Filipina, Carlos Quirino menulis di dalam akhbar Philippines Free Press sebuah artikel berjudul ‘The First Man Around the World was a Filipino’. Artikel tersebut menyarankan yang Enrique adalah warga Filipina yang sama ada berhijrah dari Cebu ke Melaka ataupun dijual sebagai hamba di Melaka.

Malangnya, di sebalik pelbagai teori dan dakwaan ini tiada sebarang bukti atau catatan kukuh mengenai Enrique di dalam mana-mana riwayat dan catitan silam oleh kerajaan dan pihak pemerintah di ketiga-tiga negara tersebut.

“DAN MENERUSI WASIAT DAN AMANAT SAYA INI SAYA MENGISYTIHARKAN DAN MENGAMANATKAN AGAR DIBEBASKAN DAN DILEPASKAN DARI SEBARANG TANGGUNGJAWAB SEBAGAI ORANG YANG DITAWAN, DIJAJAH DAN DIPERBUDAKKAN, HAMBA SAYA ENRIQUE, YANG BERDARAH KACUKAN, BERASAL DARI KOTA MELAKA…”

– FERDINAND MAGELLAN

Enrique Juru Pandu Kepulauan Rempah yang dilantik

JJ Rizal, seorang sejarawan Indonesia, menyebut tentang peranan dan kepentingan orang peribumi seperti Enrique sebagai juru pandu yang membantu pelayar-pelayar merentasi laluan-laluan laut dan membaca peta-peta Asia Tenggara yang cukup rumit lagi mengelirukan untuk sampai ke Kepulauan Rempah. Kebanyakan peta yang dilukis pada masa itu memang sengaja dibuat untuk mengelirukan dan melencongkan laluan pelayar-pelayar saingan.

Enrique ialah Dato Laut Dalam

Datuk Shamsudin Kamari, Pengarah Persatuan Sejarah Malaysia, percaya selepas kematian Magellan dalam peperangan di Pulau Mactan, Enrique berjaya menyelamatkan diri dan pulang ke Melaka. Beliau menyembunyikan identiti sebenar dirinya dari pihak Portugis yang berada di Melaka untuk mengelak dari ditangkap semula. Beliau tinggal dengan komuniti orang Sumatra di Negeri Sembilan dan menyamar sebagai Dato Laut Dalam.

Enrique berasal dari Kepulauan Maluku

Helmy Yahya, penulis buku ‘Enrique Maluku’, mengemukakan satu teori yang diambil dari buku separa fiksyen beliau itu yang ditulis berdasarkan catitan wawancara Maximilianus Transylvanus dengan anak-anak kapal Victoria yang terselamat.

Enrique orang Melayu Kabayan

Kidlat Tahimik, seorang pengarah filem, penulis dan pelakon yang dikenali khususnya menerusi filem beliau ‘Balik bayan’, mendakwa Enrique sebenarnya orang Melayu kabayan (bermaksud ‘datang dari negeri yang sama’ dengan orang Filipina lain) yang berasal dari bahagian negara Filipina yang termasuk dalam Kepulauan Melayu.