MENGENAI PROJEK MEMORIAL ENRIQUE de MALACCA

Projek Memorial Enrique de Malacca adalah hasil karya Type O Project yang dipimpin oleh artis Ahmad Fuad Osman. Projek ini dibuat dalam bentuk persembahan memorial atau peringatan buat Enrique – seorang tokoh Melayu yang menjadi “juru pandu” Ferdinand Magellan ketika beliau cuba belayar mengelilingi dunia.

Projek ini melibatkan sebuah ruang memorial bersifat fiksyen yang disusun dengan bahan-bahan bukti sejarah yang terbatas dan berteraskan beberapa lapisan sejarah alternatif. Ia suatu percubaan untuk menggarap semula sebuah watak dan naratif-naratif yang sudah dilupakan seraya meneroka dan menyoroti percanggahan identiti Enrique sebagai warga negara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Instalasi memorial ini dihasilkan dengan berpandukan beberapa siri kajian arkib dan wawancara. Ia menampilkan sebuah instalasi media campuran yang membabitkan beberapa lukisan potret, sebuah arca Enrique mengikut khayalan artis, peta-peta lama, sebuah replika kapal jenis carrack, senarai nama yang mengikuti armada, artifak-artifak sebenar dan yang dibuat semula, rakaman video wawancara, dan salinan-salinan dokumen yang dikumpul semasa proses penyelidikan untuk projek ini.

Sesetengah bahan pameran tersebut memperlihatkan beberapa maklumat dan cerita yang bercanggahan tentang Enrique. Pemaparan serentak pelbagai representasi dan naratif kolonial, pascakolonial dan nasionalis di sini memberi kesempatan buat kami untuk membuat rumusan yang lebih teliti mengenai identiti dan sejarah tokoh yang penuh teka-teki ini.

Sejarah Ringkas Berkaitan Projek ini

Seperti yang diketahui ramai, Ferdinand Magellan telah dinobatkan sebagai orang yang mula-mula sekali belayar mengelilingi dunia tetapi sebilangan kita tahu yang beliau sebenarnya mati dibunuh dalam satu pertempuran di Pulau Mactan pada pagi 27 April 1521 tanpa sempat menamatkan pelayarannya mengelilingi dunia.


Antonio Pigafetta, sarjana dan pelayar dari Venice yang turut bersama Magellan dan Armada Moluccas sepanjang pelayaran itu, mencatatkan dengan terperinci tentang peristiwa tersebut di dalam jurnal beliau. Enrique, seorang hamba yang ditangkap di Melaka pada 1511, belayar bersama-sama Magellan dari mula sampailah berlaku pertempuran di Pulau Mactan.

Selepas itu nama Enrique hilang dari sejarah. Siapakah beliau sebelum diberikan nama Enrique? Apakah nama sebenar beliau? Dari manakah asal-usul sebenar beliau? Kenapakah beliau cukup istimewa sehingga dibawa oleh Magellan ke Portugal, kemudiannya ke Azamor dan Sepanyol, dan 10 tahun selepas itu kembali semula ke Kepulauan Melayu? Adakah ini cuma satu kebetulan atau memang disengajakan? Dan ke manakah beliau pergi selepas pertempuran di Pulau Mactan? Adakah beliau orang yang berjaya melengkapkan pelayaran tersebut lalu wajar dicatitkan dalam sejarah sebagai manusia yang pertama belayar mengelilingi dunia dan bukannya Magellan?

“TIADA MANA-MANA PERIOD SEJAK DARI MULA DUNIA DIJADIKAN SAMPAILAH KE HARI INI YANG DIREPRESENTASI TANPA SEBARANG KONTROVERSI, DAN TIADA SEJARAWAN, PERIWAYAT ATAU PEMBABAD YANG BEBAS DARIPADA DIDAKWA BERSIFAT LURUS BENDUL, MENYALAH URUS BAHAN BUKTI, ATAU DENGAN SENGAJA MEMUTARBELITKAN SEJARAH SILAM.”

– NICHOLAS POPPER

Mengambil inspirasi dari petikan di atas, Ahmad Fuad Osman telah merangka trajektori untuk Projek Memorial ini berdasarkan sebuah novel lama berjudul ‘Panglima Awang’. Novel bernada pascakolonial dan nasionalis ini ditulis sekitar 1957/58 berasaskan satu bukti sejarah yang tidak begitu signifikan. Novel ini ditulis dengan tujuan untuk menyediakan sumber imaginatif buat mendokong perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan dan juga proses pembinaan negara Malaysia selepas mencapai kemerdekaan. Tema yang tersirat di sebalik novel ini merangsang kami untuk meneroka dengan lebih mendalam pelbagai naratif yang telah dirungkai dan yang digarap semula mengenai Panglima Awang berbanding dengan kisah-kisah Enrique de Malacca menerusi sebuah sejarah alternatif.


Lambang Keunggulan Wira Nusantara

Tidak dinafikan Enrique mewakili identiti dan sejarah maritim Asia Tenggara yang pernah satu waktu dulu saling kait berkait, serta merepresentasi landskap sosiobudaya dan sempadan geografinya yang begitu cair lagi poros.

Namun sekarang, sebagaimana dengan banyak elemen sosial, tradisi dan budaya yang lain – seperti jenis-jenis makanan dan bentuk-bentuk kesenian dan persembahan – yang pada asalnya sama-sama dikongsi oleh seluruh masyarakat di rantau ini sebelum kedatangan penjajah Eropah, Enrique juga menjadi subjek perebutan hakmilik di antara negara-negara Asia Tenggara.

Bila dilihat dalam konteks ini, Projek Memorial Enrique de Malacca bukanlah pada dasarnya semata-mata suatu usaha untuk mengangkat seorang tokoh wira (pelayaran) Melayu ke atas peterana sejarah dunia tetapi sebahagiannya, dan yang paling utama, adalah untuk menggambarkan dan menyindir ‘perang’ geopolitik dan sosiobudaya yang masih berterusan di antara negara-negara di rantau Asia Tenggara.

Kami yakin menerusi projek memorial berunsur fiksyen ini Enrique dapat dihidupkan semula sebagai seorang tokoh berpengaruh milik semua yang boleh memperkasa dan merapatkan hubungan seluruh penduduk Asia Tenggara.